Wakil rakyat mahu taklimat khas tertutup terang ketirisan maklumat

Wakil rakyat mahu taklimat khas tertutup terang ketirisan maklumat

Ahli Parlimen Ikmal Hisham Abdul Aziz cadang JPKP panggil MDIO untuk beri penjelasan kepada wakil-wakil blok kerajaan dan pembangkang.

parlimen malaysia
Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan penahanan pegawai tentera yang dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket sebagai merunsingkan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mahu wakil rakyat diberi pemahaman terperinci berhubung situasi ketirisan maklumat, susulan penahanan pegawai tentera yang dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan.
Ikmal Hisham Abdul Aziz
Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Keselamatan memanggil ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) untuk memberikan taklimat tertutup khas kepada wakil-wakil blok kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen yang sedang berjalan.

“Situasi ini amat merunsingkan dan membimbangkan saya dan juga semua pemerhati pertahanan, lalu timbul persoalan apakah kompromi lain juga berlaku bukan hanya menyentuh mengenai maklumat rondaan unit-unit tentera di kawasan selatan tanah air, tetapi juga maklumat penting yang lain berkaitan isu-isu yang lebih runcing dan lebih penting seperti Laut China Selatan dan aspek kesiagaan tentera dan sebagainya,” menurut kenyataan.

Bekas timbalan menteri pertahanan ini juga ingin tahu tindakan risik-balas oleh MDIO dan Kementerian Pertahanan untuk menutup ketirisan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa mengumumkan penahanan lima pegawai kanan tentera dalam Op Sohor, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket di perairan Selat Melaka hingga Johor.

Menurut laporan media, siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok dan lain-lain dari negara jiran.

Pada hari sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Nizam Jaffar mengesahkan sebahagian mereka yang ditahan adalah anggota MDIO, dan berkata penahanan mereka tidak menjejaskan operasi ketenteraan.

Semalam, Azam memaklumkan hubungan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim banyak membantu SPRM membongkar sindiket penyeludupan baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.