
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, D11 perlu diperkasakan dengan kelengkapan, peralatan moden dan anggota tambahan bagi mengatasi keadaannya yang serba kekurangan, walaupun menanggung beban tugas yang semakin berat.
“Ketika saya melawat unit mereka bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
“Dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat.”
Beliau berkata, hasil kerjasama beberapa pihak, 10 komputer baharu disumbangkan kepada unit itu dan sebuah bilik temubual khas untuk mangsa kanak-kanak telah diubah suai menjadi ruang yang lebih mesra serta selamat.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu masih jauh daripada mencukupi.
Dalam pada itu, merujuk kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir di Sabah dan serangan terhadap anak bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, Nurul Izzah menekankan kepentingan memastikan keselamatan kanak-kanak di negara ini terjamin.
“Kedua-dua kes ini jelas membuktikan bahawa keselamatan anak-anak bukan lagi isu pinggiran, tetapi perkara mendesak yang mesti diberi perhatian serius,” katanya.
“Jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa esok,” katanya.