
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, V Papparaidu, berkata tindakan itu boleh menjejaskan hubungan lebih luas DAP dengan Umno dan seterusnya menggugat kestabilan kerajaan perpaduan kerana Umno rakan kongsi utama.
“Hubungan politik adalah kompleks dan saling berkait. Sebarang tindakan yang kita ambil perlu dipertimbangkan dengan teliti supaya tidak menjejaskan kerjasama serta kestabilan lebih luas,” katanya kepada FMT.
Papparaidu bagaimanapun berjanji akan memastikan cadangan dibangkitkan Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu dibawa ke mesyuarat CEC.
“Setiap pandangan akar umbi berharga dan perlu diberikan platform betul. Namun, disiplin parti perlu dikekalkan setiap masa mengikut panduan dan nasihat setiausaha agung.”
Beliau menggesa pemimpin Pemuda DAP bertenang dan bersabar memandangkan Akmal sedang disiasat polis berhubung video Facebook mengenai isu Jalur Gemilang, di mana beliau didakwa membuat kenyataan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Akmal sedang disiasat atas dakwaan menghasut dan ugutan jenayah berhubung video itu, yang berkaitan pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang tidak sengaja menggantung Jalur Gemilang terbalik.
Akmal mentertawakan ugutan memutuskan hubungan dan mencabar DAP berbuat demikian. Katanya, tindakan itu secara tidak langsung bermakna menamatkan hubungan dengan Umno.
FMT sudah menghubungi Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook untuk mengulas.
Papparaidu berkata, semua ahli politik perlu memberi ruang kepada polis untuk menyiasat isu itu. Tetapi, beliau membidas Akmal kerana memberi amaran akan mengambil tindakan sendiri jika tiada hukuman dikenakan terhadap pemilik kedai perkakasan itu.
“Akmal cuba menekan polis dengan menetapkan tempoh masa sewenang-wenangnya, yang boleh ditafsirkan sebagai ancaman terhadap pihak berkuasa.
“Penting untuk kita terus menegakkan kedaulatan undang-undang, menghormati proses wajar dan mengekalkan disiplin dalam tindakan politik kita,” kata exco Selangor itu.