
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi turut menarik perhatian kepada bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, yang mendakwa PAS lebih berhemah berbanding Umno dalam soal perkauman.
“Mungkin mereka tidak baca ‘Amanat Hadi’ yang hingga ke hari ini Hadi tidak pernah batalkan. Amanat itulah punca kafir mengkafir berleluasa, PAS suka menghukum,” menurut kenyataan di Facebook.
Puad juga mendakwa PAS kata DAP lebih faham Islam daripada Umno ketika bekerjasama, tetapi sekarang menuduh parti itu anti-Islam. “Apakah itu berhemah?” soalnya.
“Justeru janganlah kerana tindakan Akmal mempertahankan bendera Malaysia daripada dipasang terbalik dianggap PAS lebih berhemah,” tambahnya.
Pada Jumaat, Malaysiakini melaporkan bahawa menurut Ti, PAS kelihatan lebih rasional berbanding Akmal yang terus-menerus menyerang DAP.
Katanya kepada portal itu, pemimpin PAS nampaknya lebih rasional dan tenang dalam kata-kata serta tindakan.
Laporan tersebut berlatarkan gesaan Pemuda DAP Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan pusat parti mereka memutuskan hubungan dengan Akmal, susulan protes terhadap seorang pemilik kedai perkakasan selepas pengusaha itu dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Keesokannya, Zaid yang dilaporkan sebagai senada dengan Ti berkata PAS lebih berhemah berbanding Umno dalam soal perkauman, malah parti itu menolak perkauman.