
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata serbuan oleh Pasukan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) hasil maklumat risikan serta aduan awam berhubung penjualan rokok elektronik haram di Perlis.
Beliau berkata 2,083 unit peranti dan cecair rokok elektronik bernilai RM104,150 dirampas dalam serbuan pertama di Kampung Baru, Kangar, manakala 4,235 unit peranti dan cecair vape bernilai RM211,750 dirampas menerusi serbuan kedua di Kampung Padang Behor, Kangar.
Menurutnya, keseluruhan rampasan bernilai RM315,900 dan MPK mengeluarkan notis kesalahan serta kompaun kepada penjaga premis kerana melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Semua rampasan dipercayai untuk jualan, walaupun kerajaan Perlis sudah menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan cecair vape mulai 1 Ogos lalu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, Op Taring Alpha 3 itu dilaksanakan dengan gabungan kepakaran pelbagai agensi untuk memaksimumkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Polis bersama agensi berkaitan akan terus melaksanakan operasi secara berkala bagi membanteras penjualan vape haram dan menjaga kesejahteraan masyarakat.”