
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, 33 fasiliti itu telah diwujudkan setakat ini, meliputi kawasan bandar dan luar bandar dengan baki 48 fasiliti serupa dijangka dapat dicapai menjelang 2033.
“Walaupun fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik penting, tetapi saya memandang kepada ‘Wellness Hub’ sebagai pangkalan, wahana, infra dan ekosistem yang kita bangunkan terutama di bandar dan luar bandar sebagai ‘the real healthcare’.
“Kalau kita lihat di sini, jika pengunjung datang, petugas akan lakukan saringan kesihatan, seterusnya (pengunjung) akan diberi bimbingan, pengetahuan, pencerahan untuk menurunkan berat badan (contohnya),” katanya pada Majlis Perasmian Wellness Hub Kuala Langat hari ini.
Dzulkefly berkata, fasiliti itu di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 1.48 juta rakyat Malaysia sejak 2020, dengan 75% berjaya menurunkan berat badan, 74% meningkatkan kecergasan fizikal dan 54% berjaya berhenti merokok sepenuhnya.
“Ini bukti nyata bahawa ‘Wellness Hub’ bukan sekadar pusat perkhidmatan, tetapi pemangkin perubahan gaya hidup masyarakat,” katanya.
“Kita ada tiga (‘Wellness Hub’) yang beroperasi di Selangor, iaitu di Hulu Langat, Sabak Bernam dan Kuala Langat. Insya-Allah, Kuala Selangor juga akan terima fasiliti baharu tahun ini.
‘Wellness Hub’ yang sebelumnya merupakan Pusat Promosi Kesihatan Komuniti, dinaik taraf sebagai pusat komuniti dan menawarkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat melalui bimbingan dan kemahiran perubahan tingkah laku ke arah pembudayan hidup sihat secara konsisten dan lestari.
Majlis itu hari ini turut menyaksikan sesi tandatangan Nota Kerjasama antara KKM dengan bomba, antara lain melibatkan pelaksanaan kegiatan kesejahteraan kesihatan termasuk di Akademi Bomba dan Pangkalan Udara Bomba seluruh negara.