JSJ Bukit Aman ambil alih kes serang anak Rafizi

JSJ Bukit Aman ambil alih kes serang anak Rafizi

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Rafizi Ramli
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata penyerahan kes itu kepada Bukit Aman selaras keperluan siasatan lebih menyeluruh dan berpusat.
PETALING JAYA:
Siasatan kes serangan terhadap anak lelaki bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli kini diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata penyerahan kes itu kepada Bukit Aman selaras keperluan siasatan lebih menyeluruh dan berpusat.

Justeru, beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Shazeli memaklumkan polis menemui beberapa petunjuk positif bagi mengesan suspek kes serangan anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya Rabu lalu hasil penelitian dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Polis dilaporkan sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya berusia 12 tahun dan mencucuk jarum suntikan ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.

Beliau tidak menolak kemungkinan serangan itu cubaan menutup mulutnya susulan pertemuannya dengan sekumpulan pendedah maklumat berkaitan satu skandal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.