
Zahid berkata, penyalahgunaan kuasa perlu dihentikan kerana ia melibatkan imej pasukan keselamatan serta pertahanan negara yang mesti dipertahankan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat Perak di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, lapor Bernama.
Rabu lepas dilaporkan 10 individu termasuk pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun, serta seorang warga Indonesia ditahan sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Skuad Taktikal Antirasuah.
Serbuan selepas risikan selama setahun itu membawa kepada rampasan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki kemudian mendedahkan seorang pegawai tentera yang ditahan turut disyaki menjadi dalang penyeludupan dadah.
Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Mohd Nizam Jaffar berkata, pihaknya tidak akan melindungi atau berkompromi sama sekali dengan mana-mana warganya yang terbabit dalam sebarang masalah termasuk sindiket penyeludupan.
Zahid hari ini berkata: “Saya harap ini jadi satu pengajaran mahal untuk yang lain-lain, apa juga pasukan penguat kuasa supaya tidak melakukan kerja yang sama ataupun kerja-kerja berlainan dengan tujuan yang sama.”