Buli: Ahli akademik gesa utamakan pencegahan awal

Buli: Ahli akademik gesa utamakan pencegahan awal

Kajian menunjukkan pendekatan berasaskan pencegahan awal lebih berkesan berbanding hanya berorientasikan hukuman.

buli-sekolah
Perlu pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan di rumah untuk tangani buli, menurut ahli akademik. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua ahli akademik berpendapat langkah awal mencegah buli harus menjadi fokus utama pentadbir sekolah berbanding pendekatan disiplin semata-mata seperti melantik bekas tentera atau polis sebagai warden asrama.

Malah, Noor Aziah Mohd Awal dari Universiti Kebangsaan Malaysia kurang bersetuju dengan melantik warden dalam kalangan bekas anggota penguat kuasa di institusi pendidikan, seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan asrama penuh.

Menurut profesor undang-undang keluarga dan kanak-kanak itu, mereka yang sepatutnya menjadi warden adalah guru yang mempunyai kelulusan kaunseling dan kerja sosial, serta berpengalaman dalam pengurusan asrama.

“Asrama bukan penjara, Sekolah Henry Gurney atau Tunas Bakti… mungkin pengurusan sekolah boleh beri latihan khas kepada guru yang menjadi warden.

“Lagipun buli juga berlaku di sekolah harian dan luar asrama, jadi jawapan menyeluruh mengawalnya bukan setakat lantik warden dari bekas tentera atau polis tetapi pendidikan bermula di rumah,” katanya kepada FMT.

Bekas pesuruhjaya kanak-kanak itu mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) secara agresif melaksanakan langkah awal untuk mencegah buli, yang keperluannya semakin mendesak.

“Mendiamkan atau menyembunyikan kejadian buli adalah kesalahan keganasan kepada kanak-kanak.”

Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan) Universiti Putra Malaysia, Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam, berpendapat pencegahan buli perlu dilaksanakan secara berlapis dan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan disiplin semata-mata.

“Kajian lepas menunjukkan pendekatan berasaskan pencegahan awal lebih berkesan berbanding hanya berorientasikan hukuman,” katanya.

Jelasnya, antara langkah boleh dipertimbangkan ialah melatih warden dan guru asrama dengan kompetensi psikososial yang mampu membantu mengenal pasti tanda awal buli, teknik meredakan situasi tegang, dan intervensi berasaskan pemulihan hubungan.

“Latihan ini penting kerana dalam banyak kes, warden dan guru individu terawal yang dapat mengesan perubahan tingkah laku pelajar yang mungkin menjadi petanda kepada wujudnya gejala buli,” katanya.

Beliau juga berpandangan sistem aduan buli di sekolah khususnya berasrama perlu diperkemaskan dengan memastikan ia mudah diakses, selamat dan mesra pelapor.

“Keengganan pihak sekolah untuk melaporkan kes kerana bimbang imej institusi terjejas hanya akan mengukuhkan budaya ‘senyap’ yang membolehkan buli berterusan dan membarah tanpa tindakan,” katanya.

Rentetan kejadian buli membawa kepada desakan supaya pentadbir sekolah berasrama seperti KPM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) meningkatkan tahap keselamatan.

Mara mengambil langkah melantik melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa bagi memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang, di samping menjamin persekitaran pembelajaran selamat.

KPM pula mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung.

Kementerian juga mengarahkan pengetua dan guru besar mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.