
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata JIPS telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib terhadap ketua polis daerah berpangkat superintenden, ketua bahagian siasatan jenayah daerah berpangkat asisten superintendan dan pegawai penyiasat berpangkat inspektor yang disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes itu.
“Pegawai JIPS Bukit Aman akan ke sana dalam tempoh satu atau dua hari lagi bagi mengambil keterangan ketiga-tiga pegawai berkenaan…siasatan ini berkaitan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina dan penyeliaan terhadap pegawai penyiasat.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, malam tadi.
Ayob Khan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia bertanggungjawab, jika terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan.
Setakat ini, katanya, ketiga-tiga pegawai kanan terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, dapatan awal siasatan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mendapati wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat berhubung kes kematian Zara Qairina.
Zara Qairina yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lalu, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu keesokannya.