
Perdana menteri berkata kejayaan itu menjadi bukti keseriusan kerajaan di sebalik kata-kata sinis dan sindiran sesetengah pihak terhadap usaha membanteras gejala berkenaan.
“Ada orang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan gerakan keras antirasuah. Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul dalam satu ke dua tahun ini, di semua agensi, daripada orang politiknya ke jabatan, kementeriannya, daripada imigresennya kepada kastamnya.
“Berapa kita kumpul? Dah, RM4 bilion hingga RM5 bilion wang yang dirampas daripada hasil perasuah,” kata beliau ketika berucap di majlis pecah tanah Ipoh Sentral.
Perdana menteri berkata dalam pelaksanaan sesebuah projek pembangunan misalnya, tatakelola yang baik merupakan antara tonggak utama bagi memastikan sesuatu projek dapat dilaksanakan dengan cekap.
“Hal ini termasuk semua bidang, latihannya, kecanggihan, keupayaan kita menguasai kecerdasan buatan dan sebagainya. Jadi saya harap projek ini (Ipoh Sentral) dapat dijadikan contoh,” kata Anwar.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Majlis Bandaraya Ipoh dan kementerian terlibat untuk mengkaji semula aspek tatakelola projek berkenaan.
“Walaupun sudah dirangka, apakah boleh kita baiki lagi. Kerana kalau dapat kita baiki, Ipoh Sentral ini menjadi satu daripada model pembangunan seutuhnya yang terbaik yang boleh kita jadikan contoh dalam negara kita,” kata beliau.