Nasihat sayap pemuda tak bertindak melulu, Tok Mat beritahu DAP

Nasihat sayap pemuda tak bertindak melulu, Tok Mat beritahu DAP

Ia susulan gesaan Pemuda DAP Negeri Sembilan dan Melaka yang mahu parti itu putus hubungan dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

MOHAMAD HASAN
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata tindakan Dr Akmal Saleh mengetuai perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang bukan untuk mencetuskan huru-hara.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa DAP menasihatkan sayap Pemuda parti itu supaya lebih rasional dan tidak bertindak melulu apabila mendesak untuk memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata dalam apa juga pergeseran, setiap tindakan pasti akan mengundang reaksi dan akhirnya ia boleh menggugat kestabilan negara.

Merujuk tindakan Akmal mengetuai perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengibarkan Jalur Gemilang terbalik, Mohamad berkata tindakan tidak harus tertumpu kepada satu pihak.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang, contohnya dalam isu pemasangan bendera dan penggunaan lambang atau panji negara.

“Saya juga berharap DAP dapat nasihatkan Pemuda mereka (DAPSY) agar lebih rasional dan tidak bertindak melulu yang akhirnya boleh menggugat kestabilan negara,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Mohamad berkata, Akmal telah dipanggil polis untuk memberi keterangan dan kehadirannya ke demonstrasi itu dengan misi damai, bukan untuk mencetuskan huru-hara.

Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menggesa parti itu memutuskan semua hubungan dengan Akmal berhubung isu Jalur Gemilang.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee, berkata parti itu tidak seharusnya bekerjasama dengan ‘ahli politik yang tidak berniat membina masyarakat yang harmoni dan inklusif’ pada PRN akan datang.

Semalam, Akmal menegaskan bahawa beliau tidak takut berdepan laporan polis bakal dibuat Pemuda DAP seperti diarahkan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.

Adun Merlimau itu juga berkata, tindakan berkenaan secara tidak langsung akan menamatkan hubungan DAP dengan Umno, salah satu rakan utama dalam kerajaan perpaduan.

Loke mengarahkan Pemuda DAP di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Akmal kerana meneruskan perarakan di Kepala Batas itu.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata polis menjalankan siasatan berhubung satu video tular di Facebook atas nama ‘Akmal Salleh’ yang dikatakan mengeluarkan kenyataan boleh dikategorikan sebagai ‘hate content’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.