Lebih 32% rakyat dewasa hadapi berat badan berlebihan

Lebih 32% rakyat dewasa hadapi berat badan berlebihan

Sebanyak 21.8% atau 4.58 juta individu dewasa dikategorikan obesiti.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata 40.6% rakyat dewasa di Kuala Lumpur mengalami berat badan berlebihan, diikuti Putrajaya (35.5%) dan Labuan (34.8%). (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati kira-kira 6.86 juta atau 32.6% rakyat dewasa di Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata 21.8% atau 4.58 juta lagi dikategorikan obesiti, yang menimbulkan kebimbangan terhadap usaha negara menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Secara keseluruhan, lebih separuh populasi dewasa di Malaysia berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes.

“Diabetes menjejaskan 15.6% atau 3.55 juta rakyat Malaysia, manakala prevalens hipertensi adalah 29.2% membabitkan 6.65 juta orang,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Pelancaran Roczen Universal di Gombak.

Beliau berkata, Perak mendahului prevalens diabetes dan hipertensi tertinggi pada kadar 21.7% serta 40.2%.

Menurutnya, ia diikuti Pahang (21.5%) dan Perlis (20.6%) bagi diabetes serta Sarawak (39.9%) dan Perlis (39.1%) untuk hipertensi.

Katanya, 40.6% rakyat dewasa di Kuala Lumpur mengalami berat badan berlebihan, diikuti Putrajaya (35.5%) dan Labuan (34.8%).

“Namun, Perlis mencatatkan kadar obesiti tertinggi iaitu 32.8%.”

Jelasnya, kerajaan sedang memperkukuh kerjasama bagi menangani peningkatan NCD, termasuk diabetes, hipertensi dan obesiti.

Beliau berkata, KKM turut mencadangkan beberapa inisiatif baharu dalam belanjawan akan datang bagi memperkukuh usaha negara menangani obesiti dan diabetes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.