
Pemuda DAP Negeri Sembilan menggesa kepimpinan pusat DAP dan sayap Pemudanya mengambil pendirian jelas terhadap Akmal, yang didakwa memecahbelahkan rakyat dan mempolitikkan isu bendera.
“Kami menggesa pimpinan DAP dan Pemuda mengambil pendirian jelas dengan memutuskan hubungan politik dengan ahli politik tidak bertanggungjawab seperti Akmal.
“Ini demi memastikan Pemuda DAP kekal konsisten menolak politik kebencian dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan, senada dengan gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang semalam.
Semalam, Akmal menegaskan beliau tidak takut dengan laporan polis bakal dibuat Pemuda DAP atas arahan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.
“Nak lapor polis? Teruskan sahaja dan saya sedia beri kerjasama. Untuk takut kepada kamu, tidak sama sekali.”
Adun Merlimau itu juga berkata, tindakan berkenaan secara tidak langsung akan menamatkan hubungan DAP dengan Umno, rakan utama dalam kerajaan perpaduan.
Loke mengarahkan Pemuda DAP di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal kerana meneruskan perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang didakwa mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata polis menyiasat satu video tular di Facebook atas nama ‘Akmal Salleh’ yang dikatakan mengeluarkan kenyataan boleh dikategorikan ‘hate content’.
Azizee berkata dalam pautan video itu, Akmal dikatakan mengeluarkan kenyataan dipercayai boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat dan menggugat ketenteraman awam.