
Loo Foo Wah, 53, dari SJKC Kemasul berkata beliau mencipta lagu itu untuk menyahut seruan KPM dan berpendapat dengan menyanyi mesej yang ingin disampaikan lebih mudah diterima dan didalami murid.

Katanya, setiap pagi sebelum sesi pembelajaran bermula semua guru dan murid akan berkumpul di padang untuk menyanyi lagu tersebut.
“Saya merasakan sekadar laungan sahaja mungkin agak bosan dan susah untuk murid memahami mesej berkenaan.
“Lirik dwibahasa (bahasa Mandarin dan Melayu) ringkas sahaja. Yang penting murid dapat faham dan ingat,” katanya kepada FMT.
Loo berkata, lagu itu dicipta dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, sebagai sekolah ‘kecil’ yang lebih menumpukan kepada pembelajaran menyeronokkan, memang menjadi kebiasaan baginya melakukan aktiviti menyanyi dan menari bersama guru dan murid.
“Kami ada pelbagai aktiviti termasuk senamrobik setiap Jumaat, dikenali sebagai ‘Happy Friday’, menyambut hari jadi murid dan sebagainya. Tak kira apa aktiviti semua guru dan murid menyertai secara aktif.
“Ini juga berjaya menarik lebih banyak ibu bapa menghantar anak ke sekolah ini. Setakat ini, sekolah ini ada 20 murid berbanding hanya lapan ketika sesi pembukaan bermula Februari,” katanya.
Sebelum ini, KPM mengarahkan setiap pengetua dan guru besar mewajibkan laungan ‘Kami Benci Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan sebagai ‘perang’ terhadap gejala buli.
Arahan itu susulan kes buli di sekolah terutama membabitkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokannya.
Loo yang bergelar pendidik sejak 1997 berkata, bagi menangani isu buli semua guru perlu bertanggungjawab dalam menangani isu pelajar yang terdiri pelbagai latar belakang keluarga.
Beliau berkata, tanggungjawab membanteras buli terutama dari aspek keprihatinan terhadap murid tidak hanya diletakkan di bahu guru kaunseling sahaja tetapi semua harus mengambil peranan.
“Warga pendidik perlu lebih prihatin kepada murid. Kalau ada yang kerap ponteng sekolah, kita boleh buat lawatan ke rumah bagi mengetahui punca sebenar sama ada mereka demam atau dibuli.
“Kadangkala kami juga bimbang apakah guru terlalu tegas dalam pengajaran sehingga menyebabkan murid takut ke sekolah. Maka perkara ini juga perlu diteliti sebaik-baiknya,” katanya.