
Amir sebelum ini memangku jawatan presiden dan CEO kumpulan Prasarana sejak 15 Julai lalu selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Azharuddin Mat Sah.
Beliau menyertai Prasarana pada 2019 sebagai timbalan ketua pegawai kewangan sebelum dilantik sebagai CEO Rapid Rail Sdn Bhd pada 2022 dan kemudiannya ketua pegawai operasi kumpulan (operasi).
Pengerusi Prasarana, Nasir Ahmad, berkata keputusan melantik Amir dibuat berdasarkan prestasi cemerlang serta sumbangan besarnya sejak menyertai syarikat itu.
“Kepimpinan beliau yang tenang dan berwibawa membuktikan kemampuannya memacu Prasarana ke hadapan.
“Lembaga pengarah yakin beliau mampu membawa organisasi mencapai kejayaan lebih besar, selaras dengan matlamat negara memperkukuh sistem pengangkutan awam,” kata Nasir dalam kenyataan.
Amir berterima kasih kepada lembaga pengarah atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk melaksanakan langkah berdaya saing, berasaskan rakyat dan inklusif bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia.