
Norazlinah, yang sebelum ini bersama Warisan, berkata tuduhan tersebut adalah tidak benar dan satu fitnah berniat jahat yang cuba mencemar nama baik beliau.
Semakan FMT juga mendapati video berkenaan tidak lagi boleh diakses di TikTok.
“Saya dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan fitnah ini. Segala dakwaan yang dikaitkan kepada saya dan suami adalah tidak benar, berniat jahat, berunsur fitnah serta cubaan mencemar nama baik saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Kunak itu berkata beliau dan suaminya tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan dadah.
Norazlinah menambah bahawa tuduhan itu adalah cubaan terancang untuk mencemar reputasi dan menggugat kepercayaan masyarakat terhadap beliau.
Beliau juga mengarahkan pasukan guamannya untuk mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun TikTok berkenaan serta mana-mana individu yang menyebarkan dakwaan tersebut.
“Sebagai wakil rakyat Kunak, saya akan terus fokus menunaikan amanah serta berkhidmat demi kesejahteraan rakyat tanpa terkesan dengan usaha pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruah saya,” katanya.
Norazlinah memenangi kerusi DUN Kunak atas tiket Warisan pada 2018 dan 2020. Beliau sebelum ini merupakan ketua sayap wanita parti itu.
Beliau meninggalkan Warisan pada Februari 2023 untuk menyertai Gagasan Rakyat, komponen dalam gabungan pemerintah negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).