
Shafie yang menjadi ketua menteri Sabah dari Mei 2018 hingga September 2020 berkata, masalah kemudahan asas itu yang membelenggu rakyat sejak sekian lama akan menjadi visi serta misinya selain pembangunan modal insan.
Dalam temu bual FMT di Parlimen, Adun Senallang itu mendakwa ramai warga Sabah mengadu masalah gangguan bekalan air menyebabkan kehidupan seharian mereka terjejas selain memberi kesan kepada operasi restoran serta hotel.
Namun, menurut Shafie masalah gangguan bekalan air jarang berlaku di Kuala Lumpur serta Selangor walaupun penduduknya lebih ramai yang mungkin boleh dipelajari Sabah daripada tokoh seperti Pengerusi Puncak Niaga Rozali Ismail.
“Dahulu kita memang buat (cuba selesaikan masalah kemudahan asas di Sabah) tetapi 26 bulan sahaja (waktu pemerintahan). Sudahlah 26 bulan lockdown lagi (sekatan pergerakan dan perjalanan akibat Covid-19).
“Semua tidak boleh bergerak, kedai pun tutup,” kata Ahli Parlimen Semporna mengulas sama ada janji memperbaiki kemudahan asas akan dipersoal rakyat Sabah kerana tidak diselesaikan semasa pentadbirannya.
Pendidikan percuma bukan gimik politik
Shafie turut menepis dakwaan visi dan misi pendidikan percuma diumumkannya awal bulan ini sebagai gimik politik, menyatakan perkara itu boleh dibuat dengan agihan hasil saksama Yayasan Sabah serta cukai petroleum 5%.
Beliau menganggarkan insentif termasuk membayar balik pembiayaan bawah Yayasan Sabah dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menelan belanja sekitar RM1 bilion.
“Jadi kalau RM1 bilion, takkan Sabah tidak ada duit? Saya (ketika menjadi ketua menteri) letak cukai Petronas (untuk petroleum)…sekarang mereka (kerajaan negeri) dapat antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.
“Tiada masalah tidak cukup duit untuk bantu anak-anak kita,” katanya menjelaskan inisiatif pendidikan percuma sebagai melengkapi visi serta misi dalam pembangunan modal insan.
Pada 5 Ogos lalu, Presiden Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan menyifatkan janji Warisan menghapuskan hutang pembiayaan pendidikan anak negeri itu sebagai retorik politik yang kesannya dibimbangi menjejaskan perbelanjaan sektor lain.
Beliau berpandangan, bantuan bersasar lebih praktikal dengan keutamaan kepada golongan memerlukan atau subsidi 50% daripada pinjaman.
Perkenal semula Kementerian Pendidikan, Kesihatan
Shafie turut merancang memperkenalkan semula portfolio Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang bukan bertujuan bersaing dengan Putrajaya sebaliknya melengkapi usaha mengurangkan jurang ketara.
“Ada sistem pendidikan di Sabah ini jauh ketinggalan,” katanya yang memperkenalkan dua kementerian itu semasa pentadbiran sebelum ini.
Bagi menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan dan agenda kebajikan, Shafie berkata Warisan akan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah dengan mengelakkan perbelanjaan seperti perolehan kenderaan rasmi dan nombor pendaftaran khas.
“Duit yang ada kita boleh salur untuk baiki jalan bagi manfaat rakyat keseluruhan,” katanya.