2 pasukan terbabit pergaduhan di Teluk Intan didenda RM3,000

2 pasukan terbabit pergaduhan di Teluk Intan didenda RM3,000

Pengurus Padang Tembak FC digantung lima tahun dan pemain dua pasukan terbabit pergaduhan digantung menyertai sebarang perlawanan dalam liga selama tiga tahun.

bola sepak gaduh teluk intan
Tangkap layar video tular pergaduhan ketika perlawanan Padang Tembak FC dan Jenderata FC di Padang Speedy, Teluk Intan pada 7 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Persatuan Bolasepak Hilir Perak (PBDHP) mendenda dua pasukan RM3,000 kerana terbabit pergaduhan ketika beraksi di Padang Speedy, Teluk Intan, minggu lalu.

Setiausaha kehormat PBDHP berkata, Jawatankuasa Tatatertib memanggil wakil Padang Tembak FC dan Jenderata FC memberi keterangan sebelum bersidang serta membuat keputusan.

Selain denda RM3,000, pengurus Padang Tembak FC turut digantung lima tahun berkuat kuasa serta-merta dan pemain kedua-dua pasukan terbabit pergaduhan digantung menyertai sebarang perlawanan dalam liga selama tiga tahun.

Tetapi, keputusan perlawanan itu dikekalkan kerana melepasi dua pertiga masa permainan.

“Kedua-dua pasukan boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan,” katanya menurut Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 membabitkan Padang Tembak FC dan Jenderata FC pada 7 Ogos lalu.

Seorang pemain dilaporkan melakukan takel keras terhadap pemain lawan yang membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan.

Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki terdiri daripada pengurus pasukan serta pemain kedua-dua pasukan yang dikesan berdasarkan rakaman video tular dan nombor jersi.

Lima daripada pemain itu didakwa di mahkamah Khamis lalu mengikut Seksyen 160 dan 323 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.