Warga emas didakwa rogol cucu saudara

Warga emas didakwa rogol cucu saudara

Pesara kerani sekolah itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di sebuah rumah antara 2022 hingga 2023.

gavel
Pesara kerani sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di Pulau Pinang atas tuduhan merogol cucu saudaranya yang ketika itu berusia sembilan tahun antara 2022 hingga 2023. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol cucu saudaranya yang masih bawah umur di sebuah rumah di Kepala Batas, Pulau Pinang antara 2022 hingga 2023.

Tertuduh yang juga pesara kerani sekolah berumur 67 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas antara 2022 hingga 2023.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pedakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh diwakili peguam Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mengambil kira hubungan tertuduh sebagai datuk saudara mangsa selain kediaman mereka berhampiran sekali gus boleh menimbulkan risiko gangguan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan, selain memerlukan rawatan berkala di hospital termasuk berdepan masalah pendengaran.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi.

Mahkamah menetapkan 24 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.