Tiada bahan kimia berbahaya, mayat dalam ‘kapal hantu’

Tiada bahan kimia berbahaya, mayat dalam ‘kapal hantu’

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya JBPM dan Jabatan Laut melakukan pemeriksaan sejam di tiga aras kapal sepanjang 53.7m dan selebar 10m itu.

kapal hantu
‘Kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu akan diserah kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjutnya. (Gambar Bernama)
CHUKAI:
Tiada sebarang bahan kimia berbahaya atau mayat manusia ditemukan dalam ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Abdul Halim Hamzah, berkata sebanyak 17 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia (JLM) Terengganu terlibat dalam pemeriksaan selama sejam di tiga aras kapal sepanjang 53.7m dan selebar 10m itu di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Beliau berkata, bomba menggunakan dua jenis alat berteknologi tinggi iaitu Four Gas Meter (FGM) dan Gasmet untuk mengesan kehadiran sebarang bahan atau gas berbahaya di dalam kapal berkenaan.

kapal hantu bernama pic 15825
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya JBPM melakukan pemeriksaan. (Gambar Bernama)

“Pihak Hazmat menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan sebarang bacaan daripada bahan kimia atau gas berbahaya di ketiga-tiga aras kapal.

“Didapati kawasan itu selamat dan tiada petunjuk kehadiran jasad manusia. Pada mulanya memang terdapat bau kurang menyenangkan, tetapi selepas diperiksa ia berpunca daripada bahan mentah dalam peti sejuk,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Kemaman.

Halim berkata, ‘kapal hantu’ seberat 293 tan itu akan diserahkan kepada JLM untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pihak Maritim akan menjalankan rondaan secara berkala di sekitar kawasan kapal bagi memastikan tiada aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kapal ini akan diserah kepada JLM untuk tindakan selanjutnya. Untuk sementara waktu ia akan ditempatkan di KSB sehingga proses seterusnya selesai,” katanya.

Terdahulu ‘kapal hantu’ itu berjaya ditunda ke KSB kira-kira 11.30 pagi tadi sebelum pemeriksaan keselamatan pada 3.30 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.