
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata rampasan itu melibatkan kes sindiket penyeludupan, penyelewengan dana dan pemilikan aset mewah hasil aktiviti jenayah, termasuk hartanah, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama, dan beg eksklusif.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, SPRM sudah berjaya merampas aset bernilai lebih RM31.4 bilion dan melucut hak harta hampir RM28 bilion.
“Ini termasuk operasi besar seperti Op Metal yang menyaksikan penyitaan aset dianggarkan lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, rampasan lain termasuk aset hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber, selain aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang ‘Tan Sri’ membabitkan 217 unit jam tangan mewah dan 27 unit tas tangan berjenama.
“Tidak ketinggalan, dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM menyita lebih RM36 juta aset termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank,” katanya.
Beliau berkata, penyitaan dan pelucuthakan aset ini adalah langkah kritikal untuk memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka, sekali gus menghantar mesej jelas jenayah tidak akan pernah menguntungkan.
Namun, Azam berkata, proses pelupusan harta tak alih yang dilucut hak bukanlah perkara mudah kerana membabitkan pematuhan undang-undang dan peraturan kompleks serta memakan masa panjang, terutama apabila ada proses rayuan atau pertikaian undang-undang.
Beliau berkata, SPRM kini menguruskan 41 hartanah yang masih menunggu pelupusan dan cabaran utama ialah ketiadaan mekanisme seragam serta peruntukan khusus untuk kos penyelenggaraan dan guaman.