Rodziah harap kekal YB Ampang sehingga tamat penggal

Rodziah harap kekal YB Ampang sehingga tamat penggal

Rodziah Ismail akui penyertaan Tengku Zafrul Aziz sebagai ahli PKR Ampang cetus spekulasi termasuk kedudukan wakil rakyat sedia ada di kawasan itu.

Rodziah Ismail dipindahkan dari DUN Batu Tiga ke Parlimen Ampang pada PRU15 dalam misi khas berdepan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail berharap dapat kekal berkhidmat di kerusi itu sehingga habis penggal, namun bersedia memberi laluan kepada individu lain mewakili PKR pada PRU16.

Kenyataan bekas exco Selangor itu menyusul selepas pengesahan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz sebagai ahli PKR Ampang. Beliau keluar Umno pada 30 Mei lalu.

Ditemui FMT di Parlimen, Rodziah berkata perkembangan berkenaan menimbulkan spekulasi dan ‘tujuan tertentu’ termasuk berkait kedudukan wakil rakyat Parlimen Ampang serta dua DUN di bawahya.

Ketua PKR Ampang Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad mewakili DUN Lembah Jaya manakala Timbalan Speaker DUN Selangor Mohd Kamri Kamaruddin di DUN Bukit Antarabangsa.

“Namun saya nak nasihatkan…apa pun keputusan yang ada, tunggulah habis tempoh (penggal PRU15). Jangan jadikan Ampang kerusi dikorbankan.

“Kalau hanya untuk diberikan ruang dan diberikan laluan awal serta minta mana-mana Ahli Parlimen atau Adun untuk beri laluan, saya rasa tidak wajar,” kata Rodziah yang mula menjadi wakil rakyat Ampang sejak PRU15.

Beliau menewaskan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan lapan calon lain dengan majoriti 29,681 undi.

Rodziah dipindahkan dari kerusi DUN Batu Tiga terletak bawah Parlimen Shah Alam untuk merampas semula kawasan disandang Zuraida yang dimenangi atas tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum menyertai Bersatu dan akhirnya Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Februari lalu, FMT memetik sumber sebagai berkata, Tengku Zafrul dijangka bertanding kerusi di Selangor pada PRU, dengan Ampang menjadi pilihan utama. Turut dipertimbangkan Petaling Jaya dan Pandan.

Dalam pada itu, Rodziah berkata beliau akan akur dengan apa jua keputusan parti berhubung calon PRU16 baik untuk DUN atau Parlimen.

“Kalau perkhidmatan saya diperlukan, saya teruskan.

“Jika ada keputusan lain, saya akur kerana selama beberapa tahun lepas, saya dah nampak laluan saya ke mana,” katanya yang tewas pada pemilihan PKR, Mei lalu bagi jawatan ketua Wanita.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan Tengku Zafrul menjadi ahli PKR Cabang Ampang dengan permohonannya diluluskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam mesyuarat 26 Julai lalu.

Senator itu melepaskan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua Kota Raja.

Tengku Zafrul menyertai Umno sejak 1997, tetapi dilihat sebagai teknokrat apabila dilantik menteri kewangan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan dikekalkannya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Keahliannya dalam Umno hanya diketahui umum menjelang PRU 2022 apabila dinamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, yang gagal dimenanginya.

Tengku Zafrul melepaskan jawatan bendahari Umno Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha gigih memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN, sebelum spekulasi beliau meninggalkan Umno mula tersebar Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.