Polis tahan penumpang larikan kereta e-panggilan

Polis tahan penumpang larikan kereta e-panggilan

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata suspek melarikan kereta itu ketika pemandunya berhenti untuk ke tandas.

Mohamad Hatta Che Din
Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata suspek berjaya ditahan selepas polis berjaya mengesan kereta itu berpandukan sistem GPS di Sungai Way, Petaling Jaya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melarikan sebuah kereta e-panggilan yang dinaikinya dalam satu kejadian di Seremban.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku 3 pagi Rabu lalu ketika pemandu e-panggilan berkenaan yang memandu kereta jenis Toyota Vios mengambil suspek Taman Bukit Jed, Seremban untuk dihantar ke Sri Subang, Selangor.

Katanya, ketika dalam perjalanan pemandu e-panggilan berusia 61 tahun itu singgah di sebuah stesen di bandar Ainsdale untuk mengisi minyak dan ke tandas.

“Pemandu itu meninggalkan kereta dalam keadaan enjin hidup kerana penumpang masih berada dalam kenderaan.

“Bagaimanapun, sebaik keluar dari tandas, kereta tersebut didapati telah hilang dan dipercayai dilarikan penumpang,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

Hatta berkata, susulan laporan yang dibuat pemandu kereta itu, polis berjaya mengesan kenderaan berkenaan berpandukan Sistem Kedudukan Global (GPS) dan menahan suspek di Sungai Way di sini pada jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, ujian air kencing ke atas suspek berusia 22 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan juga menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes khianat dan pecah rumah di Seremban serta satu kes curi kenderaan di Selangor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.