
Fadil berkata, pihaknya akan memudahkan himpunan tersebut namun tidak akan bertolak ansur sekiranya arahan pihak berkuasa tidak dipatuhi.
“Jangan ambil peluang dan bertindak di luar undang-undang. Jika tidak mematuhi arahan, kami tidak akan bertolak ansur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata seramai 40 anggota polis dan keselamatan akan digerakkan untuk memantau himpunan tersebut.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang penutupan atau lencongan jalan raya dibuat namun ia bergantung kepada situasi semasa.
“Kami akan memudahcara peserta-peserta perhimpunan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Himpunan yang bakal berlangsung pada jam 8 malam ini, dianjurkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai kesinambungan sokongan moral dan solidariti kepada Zara Qairina Mahathir dan keluarganya, selain mendesak keadilan sehingga ke peringkat tertinggi.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan polis menggali semula jenazah Zara untuk bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.