
Penganalisis politik percaya perkembangan ini mencerminkan usaha dalaman merangka strategi baharu, menuju PRU16.
“Mungkin Muhyiddin Yassin individu terbaik dari PN semasa pandemik tapi sekarang mereka lihat ke hadapan,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mengulas pandangan Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden menamakan lima pemimpin sebagai pilihan untuk jawatan perdana menteri, iaitu empat dari PAS dan seorang dari Bersatu.
Daripada PAS, mereka adalah Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, dan dua naib presiden iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar serta Idris Ahmad.
Dalam kalangan Bersatu, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menjadi pilihan Afnan, malah dilihat berpotensi memandangkan beliau ketua pembangkang.
Di sebalik populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat, Syaza mengingatkan bahawa parti-parti yang akan menentukan calon perdana menteri.
“Tak dinafikan mungkin rakyat dan penyokong lebih mengenali Muhyiddin, tapi politik di Malaysia akhirnya adalah berasaskan parti,” katanya.
Kedudukan PN di Dewan Rakyat ketika ini menyaksikan PAS mengatasi Bersatu dengan 43 kerusi berbanding 25.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah melihat kenyataan Afnan sebagai isyarat penting dalam dinamik kuasa dalam PN.
Beliau berkata ia boleh dibaca sebagai pergeseran dalam kalangan ahli, atau strategi mengelak kebergantungan pada seorang calon, atau sekadar menampilkan kepelbagaian.
“Ketiadaan Muhyiddin dalam senarai tersebut boleh sahaja ditafsirkan sebagai usaha untuk menampilkan barisan pemimpin yang lebih pelbagai dan ke arah meremajakan imej gabungan itu,” katanya.