Petronas, Petros masih bincang rangka kerja kerjasama, kata Menteri

Petronas, Petros masih bincang rangka kerja kerjasama, kata Menteri

Azalina Othman Said berkata kedua-duanya masih masih berbincang untuk memuktamadkan rangka kerja kerjasama, selaras dengan prinsip komersial.

Azalina Othman Said berkata implikasi kewangan deklarasi bersama Petronas belum dapat ditentukan lagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Petronas dan Petros masih berbincang untuk memperincikan rangka kerja kerjasama berdasarkan deklarasi bersama yang ditandatangani pada Mei, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau berkata kedua-duanya masih berbincang mengenainya berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui, selaras dengan prinsip komersial.

“Oleh itu, kesan terhadap prestasi kewangan Petronas masih belum dapat dikenal pasti pada peringkat ini kerana terma dan mekanisme pelaksanaan masih dalam rundingan dan belum dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Azalina menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), yang bertanyakan tentang implikasi kewangan kepada Petronas daripada deklarasi bersama yang ditandatangani pada 21 Mei oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Rahman turut bertanya mengenai perkara penting dalam deklarasi itu, yang mana Azalina berkata ia bersetuju bahawa semua undang-undang persekutuan dan Sarawak berkaitan pengagihan gas di dalam negeri perlu wujud bersama dan dihormati oleh semua pihak yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Dokumen itu juga mengakui bahawa Petronas akan terus melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, manakala Petros dilantik sebagai agregator gas untuk pasaran domestik Sarawak berkuat kuasa 1 Mac.

“Bagi perniagaan gas cecair asli (LNG), Petronas akan terus menjalankan peranan dan tanggungjawab dalam kesemua rantaian aktiviti huluan hinggalah penjualan LNG ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata pihak berkenaan juga mengakui bahawa sebarang perjanjian atau pengaturan sedia ada antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga untuk jualan LNG, daripada pengeluaran huluan kepada eksport LNG, akan kekal tidak terjejas dan terus berkuat kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.