
Woo berkata ketua Pemuda Umno itu dilihat tidak menjawab persoalan berhubung sikap ‘dwipiawaian’ terhadap kesalahan dilakukan anggota sayapnya selain PAS.
Sehubungan itu beliau melabel Akmal sebagai ‘ketua Pemuda terpaling PN’.
Beliau turut mendakwa Akmal sanggup memeluk Pemuda Bersatu dan PAS sedangkan dua parti itu telah mengalahkan Umno di kebanyakan kerusi.
“Berhimpun kena ada maknanya, bukan atas dasar membuli peniaga, jangan cuba menghalalkan tindakan samseng yang macam Along hendak kutip hutang di rumah orang.
“Dahlah bahasa lemah sehingga gunakan frasa salah ‘biadap’ yang tidak wujud dalam kamus dewan,” katanya dalam kenyataan.
“Malu sangat ada makhluk sedemikian dalam kerajaan perpaduan.”
Semalam, Akmal mengetuai perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengibarkan jalur gemilang.
Tindakan exco Melaka itu dibuat di sebalik gesaan polis supaya perarakan itu dihentikan.
Pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tian, 59, berkata dia bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.
Dia mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengarahkan Pemuda DAP di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Akmal susulan kejadian demonstrasi semalam.
Menurut Loke, laporan dibuat terhadap Akmal di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, serta seksyen baharu dalam menangani kegiatan buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan 507C Kanun Keseksaan.