Bung Moktar beri keterangan kes rasuah Isnin ini

Bung Moktar beri keterangan kes rasuah Isnin ini

Bekas pengerusi Felcra itu akan memberi keterangan hampir tiga tahun selepas beliau dan isterinya diperintahkan membela diri.

bung zizie
Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad diperintah bela diri pada November tahun lalu atas pertuduhan rasuah dan bersubahat berkaitan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
KUALA LUMPUR:
Bung Moktar Radin, yang hampir tiga tahun lalu diperintahkan membela diri atas pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta, dijangka memberi keterangan di Mahkamah Sesyen pada Isnin ini.

M Athimulan, peguam kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan ketua Umno Sabah itu mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya, pihak pembelaan akan memulakan kes mereka pada Isnin,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad dan turut dijadualkan bersambung pada Selasa dan Rabu.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu, Rozina Ayob, memerintahkan Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Zizie didakwa bersubahat dengan suaminya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka daripada pertuduhan selepas membenarkan permohonan semakan, dengan alasan Rozina telah tersilap memerintahkan mereka membela diri.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengarahkan pasangan itu membela diri, dengan memutuskan permohonan semakan itu adalah pramatang.

Tiga bulan lalu, Bung dan Zizie gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Bung, yang ketika itu merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada Norhaili Madhi, ejen pelaburan Public Mutual, melalui Zizie.

Beliau juga dituduh menerima rasuah sebanyak RM337,500 daripada Norhaili atas nama Zizie di lokasi sama pada 19 Jun 2015.

Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam melakukan kesalahan yang didakwa itu.

Peguam K Kumaraendran mewakili Zizie manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Fadhly Zamry.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.