Buli: Kerajaan selaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G KK

Buli: Kerajaan selaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G KK

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

buli-sekolah
Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 bertujuan tangani buli lebih efektif dan menyeluruh diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tahun lalu. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak memahami buli adalah jenayah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu antara dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Perdana menteri menyampaikan pandangan tegas bahawa kerajaan tidak akan benarkan sikap buli seperti ini (kes kematian Zara Qairina Mahathir) berlarutan.

“Jadi, antara perkara yang akan diusahakan dalam kalangan menteri-menteri adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507B hingga 507G dan seterusnya, telah mula berkuat kuasa Julai lalu.

“Maka kita ingin pastikan pelaksanaan bagi pindaan yang telah mentakrif dan mendefinisikan buli itu sebagai satu jenayah difahami oleh semua kementerian terutama yang menguruskan institusi pendidikan termasuk asrama dan beberapa tindakan akan disusuli,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh termasuk buli siber diluluskan Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 dan Dewan Negara pada 16 Dis 2024.

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah menyampaikan pandangan mengenai sikap beberapa pihak serta tokoh yang dianggap tidak baik ataupun biadab dan memaklumkan tindakan daripada pihak berkuasa akan diambil kepada mereka yang berkenaan.

Fahmi juga berkata amanat Perdana Menteri dalam MAPPA XX menyentuh tentang peranan penjawat awam dalam memastikan keamanan, ketenteraman dan kemajuan negara terus terpelihara.

“Perdana Menteri dalam ucapannya telah menyampaikan beberapa pesanan yang penting, semestinya tentang bagaimana kemajuan yang kita telah nikmati terutama mutakhir ini juga terhasil daripada perubahan-perubahan dan reformasi yang berjaya dilaksanakan termasuk hasil daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

“Kita mengalu-alukan siri pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri yang dianggap satu kelegaan bagi kumpulan penjawat awam tetapi seperti yang Perdana Menteri sebutkan, pengumuman besar untuk penjawat awam juga akan diumum… insya-Allah, pada 10 Okt depan sewaktu pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.