Buli: Ahli akademik cadang pasang CCTV, lantik warden asrama sepenuh masa

Buli: Ahli akademik cadang pasang CCTV, lantik warden asrama sepenuh masa

Timbalan Pengarah Minda UKM Anuar Ahmad berkata ia penting khususnya di sekolah berasrama yang kerap berdepan isu pelanggaran disiplin.

Usaha membanteras buli perlu dilakukan secara serius, strategik dan berterusan, bukannya sekadar reaktif dengan kempen, kata ahli akademik. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berisiko tinggi dan lantikan warden asrama sepenuh masa antara langkah segera perlu dipertimbangkan oleh kerajaan dalam menangani kes buli yang semakin membimbangkan, kata seorang ahli akademik.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM), Anuar Ahmad, berkata pendekatan itu penting khususnya di sekolah berasrama yang kerap berdepan isu pelanggaran disiplin, bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan secara lebih berkesan.

Beliau menegaskan, usaha membanteras buli perlu dilakukan secara serius, strategik dan berterusan, bukannya sekadar reaktif dengan kempen atau pameran bermusim yang hanya mendapat perhatian sementara.

“Pengalaman lepas menunjukkan amalan reaktif seperti ini tidak berkesan. Selepas seketika, isu buli akan dilupakan dan kemudian muncul kembali. Siapa boleh beri jaminan bahawa laungan ‘kami benci buli’ akan terus kedengaran tahun depan atau lima tahun lagi?,” katanya di Facebook.

Untuk jangka panjang, Anuar mencadangkan pelaksanaan Indeks Kesejahteraan Sekolah Malaysia (IKSM) yang merangkumi audit keselamatan murid dari aspek fizikal, emosi, mental dan siber, selain pemakanan, kesihatan, kebersihan serta kebajikan warga sekolah.

Menurutnya, ukuran indeks itu akan membolehkan pihak sekolah dibantu secara berterusan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui penyaluran peruntukan tambahan bersasar, selain memastikan penyelesaian dibuat berpandukan data yang tepat.

“Pasukan penyelidik kami di Minda UKM bersedia menyumbang kepakaran untuk membangunkan indeks ini. Hubungi sahaja pihak kami, mari kita bersama berbincang demi pendidikan anak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.