Bekas CEO yayasan dakwa tak tahu tentang akaun Ambank milik Najib

Bekas CEO yayasan dakwa tak tahu tentang akaun Ambank milik Najib

Ung Su Ling mendakwa beliau tidak mengetahui bahawa RM42 juta itu berasal daripada SRC International ketika menerima arahan memindahkannya ke akaun bank milik Najib Razak.

najib razak
SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, menyaman Najib Razak bagi mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau hanya mengetahui daripada laporan media perbicaraan SRC International bahawa akaun Ambank menerima RM42 juta adalah milik bekas perdana menteri Najib Razak.

Ung turut mendakwa beliau tidak tahu bahawa dana itu berpunca daripada SRC International ketika menerima arahan daripada Azlin Alias, setiausaha sulit utama Najib ketika itu, untuk memudahkan pemindahan wang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

Dana itu telah dipindahkan ke dua akaun Ambank yang berakhir dengan nombor 880 dan 906 pada penghujung 2014 dan awal 2015.

Ung mengakui memudahkan tiga kali pemindahan wang daripada IPSB – masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta – namun menegaskan beliau tidak mengetahui butiran lanjut mengenai dana tersebut.

“Pada masa itu, saya tidak mengetahui sumber dana tersebut, dan Azlin juga tidak memaklumkan kepada saya mengenainya. Saya boleh mengesahkan bahawa dana itu bukan berasal atau milik YR1M.

“Namun, berdasarkan laporan media dan keputusan kes SRC selepas itu, saya difahamkan dana yang dipindahkan ke IPSB itu berasal daripada SRC,” katanya semasa pemeriksaan utama.

Beliau menambah beliau hanya mengikut arahan Azlin untuk memindahkan dana itu ke akaun bank yang dinyatakan tanpa mengetahui siapa pemiliknya.

“Namun, berdasarkan laporan media dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes SRC, saya difahamkan akaun yang berakhir dengan nombor 880 dan 906, yang menerima dana tersebut, adalah akaun peribadi Najib,” kata Ung.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi plaintif pertama dalam saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap Najib untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.

Ditanya mengenai hubungan antara YR1M dan IPSB, Ung berkata YR1M memberikan sokongan kewangan melalui geran dan pembiayaan kepada IPSB bagi melaksanakan program komuniti selaras dengan prinsip inisiatif 1Malaysia.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Farhan Shafee, Ung berkata beliau tidak pernah merasakan perlu untuk mengetahui butiran lanjut mengenai dana itu.

Farhan: Sebelum memberi sebarang arahan (untuk pemindahan dana), adakah anda fikir perlu bertanya jika ada sebarang cadangan berkaitan dana ini?

Ung: Tidak.

Farhan: Dalam fikiran anda, mengapa tidak?

Ung: Bukan tugas saya untuk bertanya.

Pada Ogos 2022, Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkaitan dana SRC International.

Hukuman asalnya iaitu penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kemudian dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta selepas pengampunan diraja.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.