
Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, wanita terbabit bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen apabila pegawai bertugas mendapati mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk. Pegawai itu kemudian merujuk perkara itu kepada penyelia untuk semakan lanjut.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, suspek tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat. Dia kemudian memaki hamun pegawai itu dengan perkataan kesat, menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya ke arah tiang di depan kaunter.
“Pergelutan kecil berlaku dan suspek enggan bertenang walaupun diarahkan. Pegawai penguat kuasa AKPS kemudian memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan,” kata AKPS dalam kenyataan.
Akibat kejadian itu, pegawai terbabit mengalami bengkak pada mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan serta laporan perubatan.
Laporan polis telah dibuat dan suspek kini dalam tahanan polis untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 332 kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.
AKPS berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan, penghinaan atau ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas dan berharap pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.