Wakil PN ulangi gesaan laksana projek LRT, MRT ke Langkawi

Wakil PN ulangi gesaan laksana projek LRT, MRT ke Langkawi

Pada 2023, wakil rakyat Langkawi Suhaimi Abdullah turut cadang MRT dari dari Alor Setar ke Kuah untuk mengatasi masalah kekurangan feri.

mrt
Mohd Suhaimi Abdullah berkata mod pengangkutan kereta api seperti MRT lebih sesuai berbanding bina jambatan dari tanah besar ke Langkawi.
KUALA LUMPUR:
Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) sekali lagi membangkitkan keperluan untuk menyediakan LRT atau MRT sebagai alternatif kepada cadangan pembinaan jambatan ke destinasi pelancongan itu dari tanah besar.

Beliau berkata mod pengangkutan kereta api itu lebih sesuai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta boleh menambah keindahan pulau terbabit.

“Saya cadangkan kita memikirkan bentuk pengangkutan lain ke Langkawi, contohnya kereta api tak kira LRT atau MRT.

“Kita tidak mahu jambatan yang membawa masuk kereta ke Langkawi,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Mohd Suhaimi Abdullah
Mohd Suhaimi Abdullah.

Menurutnya, pembinaan laluan kereta api ke Langkawi juga boleh dimanfaatkan untuk penyaluran infrastruktur lain seperti paip air dari tanah besar.

“Di bawah laluan LRT atau MRT itu, mungkin boleh dibina seperti jambatan Pulau Pinang semua kabel dan paip disatukan di bawah landasan,” katanya.

Menurutnya, sumber utama bekalan air di Langkawi ketika ini diperoleh melalui paip dasar laut sepanjang 37km yang sudah berusia lebih 45 tahun.

“Setelah lebih 30 tahun beroperasi, saluran paip ini mengalami keuzuran teruk dan memerlukan banyak peruntukan untuk membaiki kerosakan,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat berlangsung 19 Sept 2023, Suhaimi ketika membangkitkan masalah feri ke Langkawi mencadangkan pembinaan MRT dari Alor Setar ke Kuah.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam maklum balasnya ketika itu berkata cadangan terbabit mungkin sukar kerana merentasi lautan bukan seperti di Kuala Lumpur.

Berhubung cadangan lain, Loke dipetik berkata Kementerian Pengangkutan belum menerima permohonan kerajaan Kedah untuk membina LRT di Langkawi.

Kerajaan Kedah ada menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah firma dari Korea Selatan bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.