
Ketua Polis Padang Besar, Mohd Shokri Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pusat jagaan itu menempatkan 20 warga emas, yang mana salah seorang penghuninya dipercayai memulakan kebakaran dalam kejadian 8.31 pagi tadi
“Semakan kamera litar tertutup di pusat jagaan itu mendapati kebakaran dipercayai dimulakan oleh salah seorang penghuni lelaki berusia 81 tahun.
“Suspek dipercayai memulakan kebakaran itu dari kawasan almari di dapur pusat jagaan yang menyebabkan ia merebak ke dewan utama sehingga membakar sebahagian ruang itu,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kebakaran mengakibatkan 50% kawasan dewan musnah.
Katanya, siasatan lanjut mendapati tindakan suspek berpunca akibat tidak puas hati terhadap penjaga pusat jagaan di Padang Besar itu.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan penjaga pusat jagaan kerana tidak membenarkannya ke Kangar untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran bersama teman wanitanya yang juga penghuni pusat berkenaan,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta forensik IPK Perlis dipanggil bagi membantu siasatan.
“Jumlah kerugian masih disiasat dan suspek ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.