
Menurut Rafizi, beliau ada menerima maklumat daripada sekumpulan pemberi maklumat berkenaan skandal terbabit dan beliau percaya pihak terbabit cuba memberi tekanan supaya siasatan itu dihentikan.
“Pada hemat saya ini bersabit cubaan menutup mulut saya. Maksudnya ada sesuatu yang saya sedang teliti dan ini mesejnya supaya saya ‘hands off’ perkara itu.
“Minggu lepas memang ada satu kumpulan pemberi maklumat datang mengenai satu skandal, itu yang saya boleh beritahu.
“Jadi maksudnya saya ingat pihak yang terbabit, sesiapa dalang di belakang kes ini tahu, mungkin ini cara untuk memastikan saya move on dan skip (siasat skandal),” katanya pada sidang media di Parlimen.
Semalam, anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.
Menurut Rafizi, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.
Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.
Rafizi, Ahli Parlimen Pandan turut mendakwa pihak terbabit cuba mengugut isterinya memandangkan beliau jenis tidak ambil peduli terhadap ugutan.
Beliau berkata isterinya menerima mesej daripada nombor tidak dikenali pada 1.12 pagi tadi yang menulis: “Diam, andai teruskan AIDS.”
Mesej sama bersama emoji tiga suntikan turut dihantar kepada isterinya pada 11.02 pagi tadi.
“Saya sudah sampaikan maklumat ini kepada polis dan mereka tahu nombor telefon itu.
“Saya berharap siasatan itu akan berjalan dengan lancar,” katanya.
Berhubung suntikan ke atas anaknya, Rafizi berkata ada beberapa bahan mungkin telah disuntik iaitu dadah, racun, viral hepatitis, HIV atau hanya suntikan kosong.
“Jadi untuk tempoh 24 jam yang pertama, keutamaannya ialah selain daripada ujian darah, untuk kita periksa sama ada disuntik dadah atau racun.
“Setakat ini pemerhatian itu nampak okay, maksudnya tidak ada nampak kesan-kesan segera,” katanya yang memaklumkan anaknya perlu menjalani ujian darah selama enam bulan.