
Bekas penuntut Diploma Pengurusan Pelancongan itu membuat pinjaman pelajaran berjumlah RM13,500 ketika mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.
Selepas tamat pengajian pada 2016, proses membayar balik pinjaman tidak dapat diteruskan apabila dia diberhentikan kerja dan menganggur selama dua tahun menyebabkan tunggakan mencecah ribuan ringgit.

“Sebelum pandemik saya bayar RM115 sebulan. Selepas dua tahun, saya dapat kerja baru dan mahu sambung bayar pinjaman tetapi disebabkan ada tunggakan, saya kena bayar lebih sekitar RM200 sebulan.
“Jadi, saya ambil inisiatif hadir ke pejabat PTPTN. Pegawai bertugas mencadangkan saya buat penstrukturan semula pinjaman dan kami berunding sehingga capai persetujuan jumlah yang perlu dibayar,” katanya kepada FMT.
Usai penstrukturan semula pinjaman, Nurmaisarah yang berasal dari Sabah kini hanya perlu membayar RM100 sebulan selama sembilan tahun.
“Namun, saya memilih untuk menyelesaikan sebahagian tunggakan pinjaman menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menjadikan baki tempoh bayaran semakin pendek iaitu tiga tahun sahaja,” katanya menjangkakan bayaran balik selesai menjelang 2028.
Nurmaisarah meminta peminjam PTPTN memanfaatkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman yang disifatkan sangat membantu. Rekod CCRIS juga akan lebih baik.
“Kalau langsung tak buat apa-apa, tunggakan ini akan menyukarkan permohonan pinjaman lain seperti beli rumah atau kereta. Proses akan jadi sangat rumit,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Azlan Suhaimi, berkata bulan ini paling bermakna apabila dia berjaya melangsaikan hutang PTPTN berjumlah RM18,000 dalam tempoh dua tahun.
Eksekutif fasiliti dan keselamatan dari universiti swasta di Shah Alam berkata, sejak awal dia menetapkan matlamat menyelesaikan semua pinjaman termasuk pinjaman pendidikan PTPTN sebelum berusia 30 tahun.
“Setiap bulan saya bayar RM180. Alhamdulillah kini selesai. Saya sangat lega,” kata alumni Universiti Malaysia Sarawak berusia 26 tahun.
Katanya, peminjam tidak perlu menunggu sehingga benar-benar stabil dari segi kewangan untuk mula membayar balik kerana mereka boleh berbincang mengenai kaedah yang terbaik dengan PTPTN.
PTPTN sentiasa membuka peluang kepada semua peminjam yang mempunyai masalah membuat bayaran balik untuk datang berunding dengan PTPTN melalui #PTPTNBolehBincang.
Selain itu, inisiatif #PTPTNSediaBantu pula diperkenalkan bagi memudahkan peminjam berurusan dan menyebar luas pelbagai saluran perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat serta membantu dan memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman.

Dalam pada itu, penuntut tahun pertama sebuah universiti swasta di Wangsa Maju, Tan Yee Hao, 19, berharap peminjam terdahulu membayar balik pinjaman PTPTN supaya generasi baru sepertinya berpeluang menyambung pengajian dengan menggunakan dana pendidikan tersebut.
Katanya, pinjaman PTPTN amat diperlukan untuk meringankan beban ibu bapa terutama bagi keluarga kurang berkemampuan.
PTPTN menyeru kepada peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran supaya tampil berunding dan membuat penstrukturan semula pinjaman dengan pelan pembayaran yang lebih fleksibel mengikut kemampuan kewangan.
Tiada kos dikenakan untuk permohonan penstrukturan semula pinjaman. Muat turun aplikasi myPTPTN untuk rundingan bagi permohonan penstrukturan semula pinjaman dan info maklumat yang lebih mudah, cepat dan selamat.