Pelaburan tambahan bukti pelabur yakin prospek ekonomi negara, kata menteri

Pelaburan tambahan bukti pelabur yakin prospek ekonomi negara, kata menteri

Dasar dan polisi kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi memberi keyakinan kepada pelabur membuat pelaburan tambahan di Malaysia.

Tengku Zafrul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata kesungguhan pemimpin negara berjumpa pengurusan tertinggi syarikat pelabur membuktikan Malaysia bersedia memudah cara pelaburan di negara ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kemasukan pelaburan tambahan ke Malaysia disokong oleh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, dasar dan polisi kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, memberi keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan tambahan di Malaysia.

“Kalau kilang itu tidak untung, mereka tidak akan buat pelaburan tambahan. Kita bagi contoh Infineon, mereka ada kilang di Jerman, Austria, Hungary, Singapura dan juga Indonesia. Mereka boleh saja besarkan operasi di negara lain, tetapi mengapa mereka memilih Malaysia?.

“Ini kerana mereka yakin dengan hala tuju ekonomi negara dan juga kerana kita sediakan insentif yang menarik bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi,” katanya menerusi hantaran video di X.

Tengku Zafrul berkata, kesungguhan pemimpin negara seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjumpa pengurusan tertinggi syarikat pelabur membuktikan Malaysia bersedia untuk memudah cara pelaburan di negara ini.

Katanya, sekali gus ini akan membina keyakinan serta mempercepat keputusan pelaburan tambahan syarikat tersebut.

“Itulah sebabnya (mengapa) misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara yang diketuai Perdana Menteri itu penting. Kita nak tunjuk kita serius nak tarik pelaburan mereka, pelaburan tambahan ini tidak akan datang bergolek.

“Ia adalah indikator keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan dasar kerajaan serta hasil daripada usaha gigih kepimpinan negara dalam menarik dan mengekalkan pelaburan berkualiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.