Langkah Kinabalu bukan gerakan saya, kata Shafie

Langkah Kinabalu bukan gerakan saya, kata Shafie

Shafie Apdal dakwa Langkah Kinabalu pada Januari 2023 kerana pertelingkahan babit Ketua Menteri Hajiji Noor dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Mohd Shafie Apdal
Shafie Apdal menegaskan tidak berasas mengaitkan Langkah Kinabalu dengan Warisan.
KUALA LUMPUR:
Presiden Warisan Shafie Apdal menegaskan Langkah Kinabalu untuk menjatuhkan kerajaan Sabah diketuai Hajiji Noor pada awal Januari 2023 bukan gerakan politiknya.

Menurut bekas ketua menteri Sabah, tidak berasas mengaitkan partinya terbabit dalam episod politik yang didakwa Adun Kunak Norazlina Arif telah mengkhianati kepercayaan rakyat.

Mengulas perkara itu, Shafie mendakwa Langkah Kinabalu sebenarnya berlaku akibat pertelingkahan membabitkan Hajiji dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

“Langkah Kinabalu bukan langkah saya. Tanyalah (mereka) pasal apa bergaduh? Kita (Warisan) jadi pembangkang,” katanya dalam temu bual FMT di Parlimen.

Semalam, FMT memetik Norazlinah yang bersama Warisan ketika Langkah Kinabalu berlaku berkata gerakan politik itu disifatkan pengkhianatan terbesar kepada rakyat Sabah yang mengharapkan pembelaan serta perpaduan seperti di Putrajaya.

Menurut bekas ketua Wanita Warisan itu, ramai ahli parti berkenaan sendiri kecewa yang berharap penyatuan pemimpin Sabah seperti kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Bulan lalu, dalam satu program audio siar, Norazlinah dipetik berkata Langkah Kinabalu hanya untuk membolehkan pemimpin Warisan tertentu mendapat jawatan memandangkan parti itu dijanjikan antara empat atau lima kerusi Kabinet Sabah jika rampasan kuasa berkenaan berjaya.

Bagaimanapun, percaturan itu gagal apabila tidak mendapat sokongan mencukupi. Malah, enam Adun Umno menyokong Hajiji yang kedudukannya semakin kukuh.

Hajiji yang dilantik ketua menteri pada September 2020 turut menerima sokongan daripada wakil rakyat GRS dan PH selain Warisan termasuk Norazlinah.

Wakil rakyat dua penggal itu keluar Warisan pada 6 Feb 2023.

Bung Moktar digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri yang digantikan Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya, satu daripada wakil rakyat BN mengekalkan sokongan kepada Hajiji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.