Kerajaan tubuh jawatankuasa rentas 12 kementerian pacu transformasi desa

Kerajaan tubuh jawatankuasa rentas 12 kementerian pacu transformasi desa

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata ia penting bagi menangani cabaran kompleks pembangunan desa termasuk pertindihan fungsi kementerian dan agensi.

jahid
Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat julung kali High-Level Committee Pembangunan Desa di Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mengumumkan penubuhan High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa sebagai platform strategik merentasi kementerian untuk menyelaras dasar dan pelaksanaan pembangunan luar bandar secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi, berkata langkah itu penting bagi menangani cabaran kompleks pembangunan desa termasuk pertindihan fungsi kementerian dan agensi, kekangan sumber serta pelaksanaan program secara silo.

“Jurang pembangunan antara bandar dan desa perlu ditangani segera agar 8.1 juta penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat julung kali HLC di Parlimen.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), tiada negara Asean dijangka mampu mencapai sepenuhnya sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan pembangunan luar bandar sekiranya tiada penyelarasan menyeluruh melibatkan prasarana, tenaga kerja, modal insan dan pembasmian kemiskinan menjelang 2030.

Justeru, Zahid berkata HLC akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun atau mengikut keperluan, disokong oleh jawatankuasa kerja dalam enam bidang fokus utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan, ekonomi desa, teknologi dan pendigitalan, pelancongan desa serta infrastruktur desa.

Sebanyak 12 kementerian dilantik sebagai ahli tetap HLC, yang mana penubuhannya sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada 31 Julai.

“Antara agenda utama mesyuarat termasuk meningkatkan kemudahan sekolah luar bandar, mempromosi pelancongan desa, memperhatikan kebajikan warga emas dan golongan berkeperluan khas, selain menambah baik infrastruktur kesihatan,” kata Zahid.

Beliau berkata beberapa inisiatif rentas kementerian telah dimulakan, antaranya sistem permohonan berpusat UP_TVET untuk kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); program Inap Desa Tahun Melawat Malaysia 2026; Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) sebagai platform keusahawanan serta Sistem Tunggal Permohonan SBP-MRSM.

“Melalui HLC ini, kerajaan berhasrat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di desa, melahirkan tekno-usahawan luar bandar, memperkukuh peranan Lembaga Kemajuan Wilayah dan merancakkan sektor pelancongan desa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.