Kerajaan sedia tambah baik akta antilompat parti , kata Anwar

Kerajaan sedia tambah baik akta antilompat parti , kata Anwar

Perdana menteri berkata akta sedia ada merupakan draf diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini.

dewan rakyat
Pembangkang minta kerajaan meneliti akta antilompat parti susulan tindakan enam wakil rakyatnya alih sokongan kepada perdana menteri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk meminda bagi menambah baik Akta Anti Lompat Parti, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata akta sedia ada merupakan draf diluluskan pentadbiran sebelum ini, walaupun ia pernah dibantah Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

Menurutnya, apa yang dicadangkan oleh PH ketika itu adalah satu pindaan lengkap namun dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen.

“Itu undang-undang yang ada ketika ini. Kalau dikemukakan dan dibawa balik, saya akan cadangkan supaya ia diperlengkapkan (dipinda). Itu tidak ada masalah.

“Kena ingat, yang menghalang itu dulu sebelah sana (pembangkang sekarang). Dalam perbincangan terakhir, empat wakil dari kedua-dua belah pihak, bila jumpa Bera waktu itu, beliau cakap mereka hanya mampu buat setakat itu (draf yang diguna pakai sekarang). Kita setuju dan saya pun tandatangan bagi pihak pembangkang pada masa itu,” katanya.

Anwar menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai sama ada kerajaan sedia meminda Akta Anti Lompat Parti yang didakwa tidak memenuhi kehendak asal undang-undang tersebut digubal, memandangkan masih ada wakil rakyat menukar sokongan, merujuk kepada tindakan enam Ahli Parlimen PN yang menyokong kerajaan perpaduan.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini.

“Pemisahan ini memang dituntut sejak agak lama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) akan membentangkan kepada Jemaah Menteri akhir bulan ini. Jadi, kemajuan itu menggalakkan sebelum dibawa kepada Parlimen,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan di bawah pimpinannya telah melakukan paling banyak pindaan dan penambahbaikan undang-undang berbanding sebelum ini.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam melakukan reformasi undang-undang.

“Pada 2023, lima akta baharu dan 34 akta telah dipinda, manakala lima akta baharu dan 57 akta dipinda pada 2024. Bagi 2025, setakat ini, empat akta baharu, enam akta dipinda, dua RUU baharu dan 11 RUU dipinda sehingga kini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.