Hapus hutang PTPTN berpotensi jejas upaya biaya generasi akan datang

Hapus hutang PTPTN berpotensi jejas upaya biaya generasi akan datang

Pembiayaan PTPTN bersifat dana pusingan, yang memerlukan peminjam melunaskan hutang bagi memastikan generasi seterusnya menikmati peluang pendidikan.

Pembayaran pinjaman PTPTN menjadi menjadi tanggungjawab moral dan kewajipan setiap peminjam mengikut perjanjian yang dipersetujui.
PETALING JAYA:
Cadangan supaya kerajaan menghapuskan hutang pendidikan golongan B40, miskin tegar dan penganggur dilihat berpotensi mengurangkan keupayaan kerajaan membiayai generasi pelajar akan datang, di sebalik niat membantu rakyat kurang berkemampuan.

Bekas presiden majlis perwakilan pelajar Universiti Malaysia Sabah, Jeeva Cassandra Abdul Mumin, berkata pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersifat dana pusingan, yang memerlukan peminjam melunaskan hutang bagi memastikan generasi seterusnya menikmati peluang pendidikan.

“Pelepasan hutang secara meluas tanpa penilaian yang rapi berisiko menjejaskan kelestarian dana, mengurangkan keupayaan kerajaan membiayai generasi pelajar akan datang, serta memberi tekanan tambahan kepada kedudukan kewangan negara,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, pembayaran pinjaman PTPTN menjadi tanggungjawab moral dan kewajipan setiap peminjam mengikut perjanjian yang dipersetujui, malah mencerminkan integriti, amanah dan disiplin kewangan.

Jeeva mengulas cadangan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang mencadangkan kerajaan menghapuskan hutang PTPTN untuk golongan B40, miskin tegar dan penganggur.

Sng percaya cadangan itu lebih berkesan berbanding memberi bantuan tunai kepada golongan kurang bernasib baik yang dibelenggu hutang pendidikan.

Bagaimanapun, menurut Jeeva, jika kerajaan merancang melaksanakan perkara itu maka ia perlu terhad kepada golongan miskin tegar yang memenuhi kelayakan tertentu, misalnya penanda aras nasional dalam mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau menarik perhatian kepada indikator penentuan miskin tegar Sabah, yang disediakan Sekretariat Sabah Maju Jaya di bawah kerajaan negeri, sebagai penanda aras yang lebih holistik dan tepat.

“Sekiranya pelepasan hutang dilaksanakan, ia mesti bersyarat dan berteraskan akauntabiliti. Syarat-syarat seperti pencapaian akademik minimum atau tempoh khidmat bakti wajib kepada masyarakat perlu dipertimbangkan..,” katanya.

Hapus hutang PTPTN
Indikator penentuan miskin tegar Sabah, yang disediakan Sekretariat Sabah Maju Jaya di bawah kerajaan negeri, dikatakan penanda aras yang lebih holistik dan tepat dalam mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar, berkata cadangan Sng sejajar dengan perjuangan dan tuntutan mereka.

Bagaimanapun, Azamuddin berkata penghapusan hutang PTPTN wajar dilaksanakan secara berperingkat dengan tumpuan pada mereka yang tidak mampu, di samping bantuan lain terus disalurkan kepada kumpulan yang layak.

“Gamis juga mencadangkan agar yuran universiti-universiti diturunkan termasuklah yuran latihan industri yang turut dikenakan walaupun tidak menggunakan fasiliti dalam kawasan universiti tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.