
Namun, sebelum permohonan maaf dibuat beliau menjelaskan masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menentukan sama ada tiga sumber maklumat dirujuk itu palsu atau sebaliknya.
“Kalau dipastikan tidak ada sumber sahih itu satu kesilapan, saya tidak ada masalah (memohon maaf)…jadi saya sudah minta SKMM mendapat penjelasan.
“Tolong siasat satu, dua, tiga sumber rujukan ini apakah sahih, kalau tak sahih maka kenyataan itu memang tak benar, tapi tunggu keputusan SKMM dulu,” katanya di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta penjelasan apakah Ahli Parlimen Tambun akan memohon maaf kepada Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan satu daripada tiga sumber rujukannya telah dimaklum sebagai palsu, dan beliau menunggu dua lagi hasil rujukan.
“Ada tiga sumber yang saya rujuk, dan satu daripadanya tidak benar. Kalau telah disahkan oleh SKMM, saya akan jelaskan nanti dan minta maaf kepada Pagoh (Muhyiddin),” katanya.
Beliau turut menjelaskan arahan siasatan SKMM sebelum ini bukan bertujuan menyiasat Muhyiddin, sebaliknya terhadap sumber rujukannya.
“Ada salah faham, kononnya SKMM siasat Pagoh. Tidak, saya nak jelaskan bahawa saya kata sumber (saya) ini dari satu, dua, tiga…tolong siasat apakah sahih. Kalau tidak sahih, saya terima,” kata Anwar.
Beliau turut menegur tindakan beberapa pemimpin menyerang dan memfitnah pentadbirannya setiap hari, namun tiada permohonan maaf dibuat.
“Saya belum pernah dengar ketua pembangkang dan belah sana yang fitnah hari-hari minta maaf walau sepatah pun. Ada yang kata PMX zalim, tidak beri peruntukan kepada Kelantan, PMX guna hakim untuk menekan, PMX guna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk buat pendakwaan, persoalkan usaha perdamaian dengan Kemboja, Thailand, dan juga soal hubungan antarabangsa termasuk hal Sulawesi. Tak ada pula yang minta maaf, guna hadis pula untuk pertahan hujah, guna Qunut Nazilah,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menggesa Anwar memohon maaf dan menarik balik dakwaan beliau mempertahankan kebajikan warga asing dalam isu penyasaran RON95.
Muhyiddin, yang sebelum ini tampil menafikan perkara tersebut, berkata beliau mempertimbangkan merujuk perdana menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tiada permohonan maaf daripadanya.