2 individu serang anak Rafizi guna plat motosikal palsu

2 individu serang anak Rafizi guna plat motosikal palsu

Polis Selangor berkata identiti dua suspek belum dapat dikenal pasti.

shazeli kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata penyerang setakat ini dikenal pasti dua individu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua individu bermotosikal disyaki menyerang anak lelaki bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah Putrajaya, semalam, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata pihaknya sedang mengesan dua individu yang belum dapat dikenal pasti identiti.

“Kita telah mengenal pasti motosikal itu, namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan palsu.

“Penyerang setakat ini adalah dua individu, namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya kepada Kosmo.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat menentukan cecair dalam jarum suntikan yang didakwa digunakan suspek menyerang anak Ahli Parlimen Pandan itu.

Semalam, anak lelaki Rafizi diserang secara mengejut ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kira-kira 1.45 tengah hari.

Menurut Rafizi, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk beredar, dua lelaki berpakaian hitam penuh dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.

Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.

Hari ini, Rafizi turut mendakwa pihak terbabit cuba mengugut isterinya memandangkan beliau jenis tidak ambil peduli terhadap ugutan.

Beliau berkata, isterinya menerima mesej daripada nombor tidak dikenali pada 1.12 pagi tadi yang menulis: “Diam, andai teruskan AIDS.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.