
Pengerusi BN Sabah itu berkata autonomi diberikan kepada mereka lebih menjurus kepada urusan strategi termasuk menentukan kerjasama dengan parti lain pada pilihan raya yang berlangsung tidak lama lagi.
“Zahid akan tandatangan sebab kita ada satu sahaja presiden,” kata Bung Moktar, yang juga ketua Umno Sabah kepada FMT.
Mengulas mengapa bukan pemimpin BN Sabah menandatangani watikah berkenaan sedangkan mereka telah diberi autonomi oleh pusat, Bung Moktar berkata: “Tapi kita bukan presiden. (Hanya) ketua parti di Sabah.”
Soal watikah calon BN pernah dibangkitkan Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahaya pada Mac lalu, selepas Bung Moktar mengumumkan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed akan menggantikanya di kerusi berkenaan.
“Tetapi itu sekadar pengumuman, akhirnya nanti watikah akan dikeluarkan pengerusi BN,” kata Shahelmey.
Shahelmey antara beberapa Adun BN menyokong pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor sekali gus menggagalkan Langkah Kinabalu pada Januari 2023. Timbalan ketua menteri Sabah itu digantung enam tahun oleh Umno.
Mengulas soal calon, Bung Moktar yang dijangka mempertahankan DUN Lamag mengesahkan setakat ini 90% calon BN telah selesai dipilih.
“Mungkin minggu ini selesai,” katanya yang membayangkan mungkin ada pemimpin tinggi Umno Sabah tidak bertanding.
Beliau berkata BN dijangka bertanding 38 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah, mengambil kira kerjasama dengan PH pada PRN kali ini.
Mengenai kerjasama GRS dan PH, Bung menegaskan BN tidak akan terlibat dengan pakatan itu.
“Kita akan berlawan dengan semua parti kecuali PH, antara PH dan GRS nak kerjasama, itu urusan antara dua parti dan BN Sabah tidak rasa terganggu.
“…dan kita hanya mempertimbang kerjasama (dengan GRS) selepas PRN,” katanya, sambil berkata formula ‘kerajaan perpaduan’ yang dihasratkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat dilaksanakan di Sabah kerana kebanyakan parti bertembung kerusi.
Sebanyak 23 parti politik berdaftar di Sabah dijangka bertanding pada PRN17 akan datang.
DUN Sabah dijadual terbubar secara automatik pada 11 Nov ini.