Umno serah nota bantah ahli masuk parti kerajaan perpaduan

Umno serah nota bantah ahli masuk parti kerajaan perpaduan

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia amaran keras kepada pihak terbabit.

Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan jika tidak ditangani.
KUALA LUMPUR:
Umno akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan kerajaan perpaduan yang bercadang atau sudah mengizinkan kemasukan ahlinya ke dalam parti masing-masing.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan,” katanya.

Jumaat lalu, Bernama memetik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz mengesahkan menjadi ahli PKR Ampang.

Senator itu mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno pada 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan ahli MKT dan ketua Kota Raja.

Keahlian Tengku Zafrul dalam PKR turut disahkan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Fuziah ketika dihubungi FMT berkata, permohonan menyertai parti komponen Pakatan Harapan itu diluluskan Majlis Pimpinan Pusat dalam mesyuarat 26 Julai lalu.

Tengku Zafrul menyertai Umno sejak 1997, tetapi dilihat sebagai teknokrat apabila dilantik menteri kewangan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan dikekalkannya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Keahliannya dalam Umno hanya diketahui umum menjelang PRU 2022 apabila dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, yang gagal dimenanginya.

Tengku Zafrul melepaskan jawatan bendahari Umno Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha ‘gigih’ memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN.

Spekulasi beliau meninggalkan Umno mula tersebar Disember lalu.

Penggal kedua dan terakhirnya sebagai senator akan tamat akhir tahun ini, yang mana beliau perlu berundur sebagai menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.