
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Narosman Othman, 39, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian terhadap Othman Juseh, 74, antara jam 6 hingga 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi suatu tempoh tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Hafiz Iman Asri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd Hafiz Iman memohon tertuduh dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan mental.
Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental.
Sebelum ini dilaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul anak lelakinya yang dipercayai dalam pengaruh dadah di Kampung Kuala Gris, Dabong.
Kejadian kira-kira 6.30 pagi itu berlaku dipercayai susulan perbalahan antara suspek dan mangsa.
Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kuala Krai Mazlan Mamat dipetik berkata suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampu disahkan positif dadah dan baru sahaja dibebaskan daripada penjara.