
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata kematian Zara, 13, dalam keadaan yang mencurigakan sekali gus memerlukan bedah siasat dijalankan.
“Walau terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu Zara yang menandatangani akuan supaya bedah siasat tidak dibuat, pegawai penyiasat sepatutnya buat permohonan untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Beliau berkata, pegawai penyiasat itu dan penyelianya akan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman kerana tidak mematuhi prosedur siasatan yang ditetapkan.
Sebelum ini, pasukan petugas daripada JSJ Bukit Aman dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes tersebut
Terdahulu hari ini, Pejabat Peguam Negara mengarahkan supaya satu inkues diadakan berhubung kematian Zara.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya.
Ibu Zara, Noraidah Lamat, membuat laporan polis pada 3 Ogos lalu selepas mendakwa melihat kesan lebam di bahagian belakang tubuh anaknya ketika proses memandikan jenazah sebelum dikebumikan.
Kumar berkata siasatan pasukan petugas di Sabah mendapati terdapat unsur yang menunjukkan Zara mungkin menjadi mangsa buli sebelum kematiannya.
Katanya, polis telah merakam keterangan daripada 82 individu.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 124 pelajar telah menjalani sesi kaunseling susulan insiden itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumar berkata seorang wanita 39 tahun ditahan di Rawang minggu lalu kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai kes itu, selepas mendakwa Zara dipaksa masuk ke dalam mesin basuh.
Wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Polis juga membuka 15 kertas siasatan berkaitan penyebaran maklumat palsu mengenai kes tersebut.
Beliau memberi amaran bahawa dakwaan tidak sahih boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan.