Jumpa esok, Pemuda Umno sambut sokongan Bersatu

Jumpa esok, Pemuda Umno sambut sokongan Bersatu

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berterima kasih atas sokongan sayap Bersatu menyertai himpunan solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas esok.

rakyat malaysia jalur gemilang bendera malaysia
Himpunan solidariti Jalur Gemilang anjuran Pemuda Umno akan berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang, esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno menghargai sokongan seterunya Bersatu untuk menyertai himpunan solidariti Jalur Gemilang dianjurkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, esok.

“Terima kasih Pemuda Bersatu atas sokongan bersama Pemuda Umno. Kita jumpa esok,” kata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh ringkas kepada FMT.

Terdahulu, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham berkata pihaknya akan menyertai himpunan anjuran Pemuda Umno itu.

Katanya, sayap itu sedia bersama mana-mana pihak demi mempertahankan kedaulatan dan martabat negara, merentasi politik kepartian.

Semalam, dalam kenyataan bersama Ketua Pemuda Umno Pokok Sena Mohd Farhan Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Kulim Mohd Khairul Azam Alis menyeru anak muda seluruh negara hadir ke perhimpunan itu sebagai tanda mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Kata mereka, himpunan itu bukan sekadar pertemuan biasa sebaliknya simbol kebangkitan suara anak muda yang menolak sekeras-kerasnya cubaan meremehkan Jalur Gemilang.

Perhimpunan itu membawa slogan ‘Bangkit! Bersatu! Demi Jalur Gemilang!’.

Perkembangan itu menyusul selepas Akmal lantang mengecam pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan mahu ke premis berkenaan untuk mengajar pemiliknya cara memasang bendera dengan betul.

Namun, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa semua pihak ‘tidak menangguk di air keruh’ susulan isu itu, malah menegaskan tindakan seperti mengugut untuk mengadakan protes atau mengajar orang lain mengibar bendera adalah perbuatan membuli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.