Butirkan kos projek ‘Rumah Putih Sarawak’, kerajaan negeri digesa

Butirkan kos projek ‘Rumah Putih Sarawak’, kerajaan negeri digesa

Chong Chieng Jen dan Violet Yong gesa kerajaan Sarawak telus tentang pengggunaan dana awam bagi projek Satria Pertiwi.

satria pertiwi
Violet Yong kata Premier Abang Johari Openg seharusnya dedah kos pembinaan, perabot, dan yuran perundingan bagi projek Satria Pertiwi, antara lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin pembangkang Sarawak mendesak kerajaan negeri mendedahkan jumlah kos projek Kompleks Satria Pertiwi serta perincian kos setiap benda, demi ketelusan.

Butiran tersebut seharusnya merangkumi kos-kos spesifik seperti pembinaan, perabot, landskap, dan yuran perundingan atau reka bentuk, menurut mereka.

Satria Pertiwi, kompleks pentadbiran baharu kerajaan negeri yang juga digelar “White House of Sarawak,” dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena sambutan hari lahir Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 4 Ogos lalu.

Adun Padungan, Chong Chieng Jen dari DAP, memberitahu FMT bahawa kerajaan negeri perlu bersikap telus dalam penggunaan dana awam.

“Kerajaan seharusnya memaklumkan kepada orang awam berapa kos bangunan ini. Apabila kerajaan menggunakan dana awam, perlu ada perincian kos,” katanya.

Chong menambah kerajaan negeri kini menggabungkan pembiayaan bagi projek-projek bawah ‘perbelanjaan pembangunan’, tanpa perincian kos untuk benda-benda spesifik.

Adun Pending, Violet Yong, menegaskan jika kerajaan negeri tiada apa-apa yang hendak disembunyikan, “tidak seharusnya ada keraguan untuk mendedahkan maklumat ini kepada umum.”

“Dana awam mesti dibelanjakan secara berhemah dan dengan cara yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, bukan hanya untuk kemegahan,” katanya kepada FMT.

Kompleks pentadbiran yang terletak di Petra Jaya ini mirip kediaman dan tempat kerja presiden AS di Washington DC, sekali gus memberikannya jolokan ‘White House of Sarawak’.

Jurang besar

Yong juga mendakwa kini terdapat jurang besar antara perbelanjaan untuk projek-projek mewah berbanding peruntukan untuk memenuhi keperluan mendesak masyarakat luar bandar.

“Berkali-kali, kita telah melihat kerajaan GPS mencurahkan sejumlah besar wang ke dalam projek ‘pameran’ berprofil tinggi sementara rakyat Sarawak biasa menunggu bertahun-tahun, bahkan berdekad, untuk prasarana asas dan perkhidmatan penting,” katanya.

“Ini ciri utama kerajaan yang taksub dengan membina imej megah dengan mengorbankan isu-isu keperluan asas,” tambahnya.

Yong turut mengkritik Abang Johari berhubung hujah beliau ketika mempertahankan projek tersebut pada Februari, di mana beliau mengatakan Wisma Bapa Malaysia, pejabat kerajaan sebelum ini, terbuka kepada umum, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan yang ketara.

“Jika itu alasannya, saya harus bertanya: sejauh mana tahap tidak selamat sehinggakan keselamatan tidak boleh diperketatkan di sana?

“Lebih penting lagi, jika ia benar-benar tidak selamat, bagaimana pula dengan semua jabatan kerajaan lain yang masih beroperasi di sana? Adakah mereka tidak terdedah kepada risiko keselamatan yang sama?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.